Feeds:
Posts
Comments

Undang-undang Ramadhan

Saya melangkah keluar dari gelanggang basketball itu usai solat terawih. Spontan, kepala mendongak ke langit untuk menikmati keindahan pemandangan malam. Bulan kelihatan besar, rendah, mengambang tiga suku penuh. Kerana malam ini rupanya sudah 22 Ramadhan. Pantas sungguh masa berlalu. Masa yang tidak pernah mahu berbincang dengan manusia. Masa yang taat kepada perintah Allah semata-mata, sentiasa saja berlari meninggalkan manusia yang termangu-mangu tidak tahu nilai hidup.

.

Maafkanlah kesunyian blog ini selama Ramadhan. Sukar untuk menjinakkan diri untuk menulis, kerana saya sudah menetapkan Undang-undang Ramadhan ke atas diri sendiri. Saya berniat untuk melapangkan waktu malam, berusaha untuk menghentikan semua aktiviti. Selepas berbuka puasa, selagi mana boleh, saya tidak mahu bertoleransi dengan apa-apa urusan.

Malam adalah special untuk beribadah.
Malam Ramadhan is… time dedicated for Allah.

.

10daysKita harus mengutamakan apa yang utama. Mungkin kita perlu mindset awal-awal apa yang kita inginkan, kerana kalau kita membiarkan saja jadual hidup kita dicorakkan oleh ‘kebetulan’, bimbangnya kita tidak akan sampai ke destinasi tujuan. Setiap bahtera mesti ada nakhoda dan kompasnya, bukan sekadar angin menentukan layarnya. Apatah lagi kini kita sudah melangkah ke 10 hari paling penting dalam bulan paling istimewa dalam setahun. Sesungguhnya sebaik saja Ramadhan bermula,  Imam Malik berhenti meriwayatkan hadith dan segala urusan pengajian lain, untuk duduk membaca Al-Quran. Mungkin kita tidak mampu untuk membekukan urusan seperti Imam Malik (kecualilah kalau kita ni Boss), namun, tetapkanlah kompas keutamaan yang jelas dalam jadual hidup kita 10 hari ini. Mana yang boleh tangguh, tangguhkanlah atau tinggalkan sekiranya tidak penting.

.

Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. :
“When the last 10 nights (of Ramadhan) would begin, the Prophet s.a.w. would stay awake at night (for prayer and devotion), awaken his family and prepare himself to be more diligent in worship.” (Bukhari & Muslim)

.

Ingin saya kongsikan, nasihat seorang kakak,
“Prestasi ibadah kita bulan di Ramadhan ini akan menentukan macam mana keadaan ibadah kita untuk 11 bulan lagi.”
Mungkin benar juga, seolah-olahnya Ramadhan ini seperti peperiksaan SPM, penting dan banyak peranannya dalam menentukan posisi kita selepas itu. Tentulah tidak secara mutlak, tetapi sahamnya besar juga.

.

Selamat beribadah. Selamat memburu Lailatul Qadr. Moga Allah terima amal kita dan menghadiahkannya dengan gelaran ibadah yang Ikhlas..

Advertisements

“Yes Ramadhan tomorrow inshaAllah.”
basketball-courtBegitulah bunyi SMS dari Syeikh Khalid, iaitu Imam kami di Galway. Lantas SMS itu diforwardkan ke merata-rata tempat dengan seberapa segera pada malam itu. Begitu saja pengumuman bermulanya Ramadhan kami di bandar kecil Galway, Ireland ini. Kami tidak ada masjid. Kami juga tidak ada penyimpan mohor besar diraja buat pengumuman di mana-mana tv dan radio Ireland. Jadi ukhuwah SMS lah pengikatnya, cara sebaran beritanya. Namun alhamdulillah, terbukti kami tiada masalah connection breakdown kerana keesokan harinya, umat Islam Galway baik yang berasal dari Malaysia, Sudan, negara-negara Arab, Pakistan dan Nigeria dll, berjaya memulakan puasa. Maknanya, berita kedatangan Ramadhan itu berjaya disebarkan kepada seluruh umat Islam Galway melalui SMS, dalam tempoh 1 malam. Keesokan malamnya pula, sama seperti tahun-tahun lepas, terawih pun dimulakan di atas gelanggang basketball. Berkumandang suara Syeikh Khalid yang sayu mengalunkan surah-surah. Tiang gol basketball itu menjadi saksi saban tahun perhimpunan kami di setiap malam Ramadhan untuk terawih dan juga setiap pagi pertama Aidilfitri serta AidilAdha.

.

Tahun ini Ramadhan jatuh ketika Summer. Ertinya, siangnya lebih panjang daripada malam. Fajr bermula pukul 4.00 pagi dan Maghrib jam 9.00 malam. Alhamdulillah. Sesungguhnya Allah tidak menetapkan Ramadhan sentiasa pada musim tertentu sahaja. Jatuhnya Ramadhan berubah-rubah pada kalendar kita setiap tahun. Hikmahnya, mungkin agar kita tidak tertumpu pada musim dan waktu hadirnya Ramadhan itu, tetapi lebih fokus kepada isi dan penghayatan Ramadhan itu sendiri.
duskSegala puji bagi Allah yang menentukan kedatangan Ramadhan ketika musim panas, ketika siangnya lebih panjang, agar kita lebih mengenal erti mujahadah, lebih lama puasanya, lebih lama menahan nafsu, agar lebih besar pahalanya. Setinggi-tinggi syukur juga bagi Allah yang mengkehendaki Ramadhan berkunjung ketika musim sejuk, ketika malamnya lebih panjang, agar mudah kita bangkit bertahajud, puas kita sujud, menangis, bertaubat dan berkhalwat dengan Allah dalam qiamulail kita, hingga aneh sekali kalau masih terlepas sahur.

.

“Oh poor girl, you must be dehydrated and exhausted!” kata jururawat Irish itu.
Tidak cukup lagi rupanya usaha saya, semangat saya dan senyuman saya. Adakah orang-orang Irish ini masih nampak saya kelihatan tidak bermaya? Atau itu hanya kata-kata dari sangkaan mereka saja kerana mengetahui sekarang ini bulan umat Islam berpuasa? Saya sedang berikhtiar untuk memantapkan prestasi kerja, berakhlak lebih baik, bersabar dan memaniskan wajah sentiasa, supaya tiada alasan bagi mereka menuding jari atau bersangka doktor muslim kurang produktif, kurang ceria, kurang cergas.. “because they are fasting”. Tidak. Saya tidak akan mengizinkan ucapan seperti itu! Usah kita mengiyakan dan menyokong anggapan mereka. Para sahabat dulu siap pergi perang dan menang pulak, dalam berpuasa Ramadhan – perang Badar, perang Hitthin, perang Ain Jalut.
Maka janganlah kita lebih masam, lebih garang, lebih cepat marah, lebih malas, lebih longlai, lebih lembab, lebih beralasan, kerana kita orang yang sedang dalam kelaparan. 
Sebaliknya saya menyeru kepada saudara-saudara seiman sekalian, sepanjang Ramadhan ini, untuk menampilkan imej yang luar biasa lebih baik, lebih sabar, lebih tenang, lebih pemurah, lebih pemaaf, bahkan lebih efficient juga dalam kerja dan study, kerana kita orang yang sedang dalam ibadah.

.

Ingat-ingatlah kedudukan puasa dalam fikiran kita. Syeikh Al-Maududi menyebutkan bahawa tujuan Islam yang sebenarnya adalah untuk menjadikan seluruh kehidupan manusia ini sebagai ibadat kepada Allah. Maka dasar Allah mewajibkan solat, puasa, zakat dan haji itu semuanya hanyalah sebagai latihan yang bertujuan supaya kita merasa bahawa kita ini hamba kepada Tuhan, agar kita akhirnya mengerti bahawa seluruh hidup ini adalah demi Tuhan, untuk Tuhan, walaupun di luar waktu solat, atau di luar bulan Ramadhan. Malang sekali mereka yang gagal memahami konsep ini walaupun telah melaksanakan amal-amal fardhu itu tadi. Maka lebih sukarlah bagi mereka yang tidak mendirikan amal fardhu untuk memahami hakikat kehidupan. Kerana itu baginda Rasulullah s.a.w. telah menegaskan:

“Betapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa kecuali hanya lapar dan dahaga semata.”

.

Kita tahu adik-adik kecil kita juga sudah mulai berpuasa. Ayuh muhasabah apa beza puasa mereka dengan puasa kita? Pada usia ini, Shaum (puasa) kita mestilah ada nilai tambahan, additional value. Bagaimana? Hendaknya mata, telinga, lidah, tangan, kaki dan hati kita ikut berpuasa. Ianya cukup sulit untuk dilaksanakan kerana Shaum ini adalah sejenis ibadah yang tersembunyi. It is a secret between you and Allah.

.

Di sini juga saya ingin menyenaraikan amalan-amalan asas untuk mengisi Ramadhan, untuk ingatan diri sendiri dan buat manfaat kawan-kawan yang saya kasihi.

1. Shaum (puasa) – seperti yang diceritakan di atas

.

2. Sahur
Ia bukan pengganti sarapan, bukan juga penambah makan malam, tetapi adalah ibadah. Sabda Rasulullah:
“Sahurlah, kerana dalam sahur itu ada barakah.”
(Hadith riwayat Bukhari & Muslim) 
Siapa yang tidak mahu barakah bulan Ramadhan? Jadi apa cerita pun, ngantuk macam mana pun, kena bangun sahur juga!

.

3. Iftar (buka puasa)
Dari Anas bin Malik r.a. : Rasulullah s.a.w. berbuka puasa sebelum solat Maghrib dengan 3 biji kurma segar, jikalau tiada, baginda akan memakan 3 biji kurma kering. Jikalau tiada, baginda akan minum 3 teguk air putih. (Hadith riwayat At-Tirmidzi).
Itu yang Rasulullah lakukan, dan makan beratnya kemudian setelah solat. Jangan lupa berdoa ketika berbuka puasa, kerana
Dari Abdullah bin Amru bin Al-As r.a. bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda:“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa, ketika saat dia berbuka puasa, doanya TIDAK AKAN DITOLAK oleh Allah”. (Hadith Sunan Ibnu Majah)
Minit-minit terakhir sebelum berbuka itu adalah waktu-waktu yang sangat mahal, ketika doa mustajab dan permintaan dipenuhi, seperti keajaiban waktu sahur. Rasulullah juga banyak menekankan berbuka hendaklah disegerakan.

.

4. Tarawih
Perkataan ini berasal dari akar kata “raaha-yaruuhu-raahatan-watarwiihatan- yang bermaksud rehat, istirahat, santai. Maka solat ini hendaklah dilaksanakan perlahan-lahan, dengan khusyuk dan penghayatan serta dalam keadaan santai-santai, bukan secepat kilat hendak mengejar target rakaat! Kita umat Islam mesti berani mengevalusi diri dalam pelaksanaan solat terawih. Sudah lama kita belajar solat terawih dalam hidup kita, tetapi perasaan khusyuk menikmati kerehatan jiwa dalam terawih itu belum juga meresapi. Belum juga merasai kemanisan  ketenangan bermunajat kepada Allah.

Bagaimana tarawih Rasulullah? 
Baginda solat tarawih, di rakaat pertama setelah beliau membaca surah Al-Fatihah, beliau membaca surah Al-Baqarah sampai selesai. Para sahabat menyangka baginda akan ruku’, namun baginda meneruskan membaca surah Ali-Imran sampai selesai. Para sahabat kembali mengira baginda akan ruku’, namun kembali baginda membaca pula surah An-Nisa’sampai selesai, barulah baginda ruku’. Lamanya tempoh ruku’, iktidal dan sujud baginda adalah seperti lamanya baginda berdiri rakaat pertama. Subhanallah! Tentu kita tidak sekuat Rasulullah s.a.w, namun yang kita teladani dari baginda adalah caranya, dengan thuma’ninah, khusyuk dan penuh tadabbur.

.

5. Tilawah Al-Quran
Rasulullah s.a.w. bertilawah Al-Quran bersama malaikat Jibril pada setiap malam dalam bulan Ramadhan. Kita mesti meningkatkan kuantiti dan kualiti masa yang kita habiskan dengan Al-Quran di bulan ini. Bacalah dengan hati nurani dan hayati terjemahannya. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.. setinggi-tinggi syukur saya panjatkan kepada Allah, kerana memberi petunjuk yang sangat banyak kepada saya ketika sedang tilawah Al-Quran Ramadhan kali ini. Ada saja ayat yang saya temui yang terasa seolah-olah ayat itu memang sedang ditujukan khas untuk saya! Kena-kena aje. Macam tahu-tahu aje apa yang sedang dialami. Tapi, memang Allah Tahu pun! Sungguh, terasa Allah sedang berbicara dengan diri ini melalui ayat-ayatNya di dalam Al-Quran itu…….
segala puji bagiMu ya Allah!

.

6. Sedekah
Perbanyakkan memberi, baik banyak atau sedikit, sumbangkan juadah iftar dan bersedekahlah walau apapun. Sifat dermawan Rasulullah saw di bulan Ramadhan dikatakan lebih pantas dari angin yang bertiup, sepertinya tidak takut miskin.

.

7. Solat malam
Rasulullah s.a.w. mengejutkan isteri-isterinya dan kerabatnya untuk menghidupkan malam-malam istimewa, mulia dan mahal ini. Kalau Rasulullah sampai sanggup mengejutkan seisi rumah baginda, takkan pula kita yang tidur saja. Moga rumah-rumah orang Islam menyala lampu-lampunya setiap malam Ramadhan, sehingga kagumlah umat lain di dunia dengan kepelikan fenomena Ramadhan. Ini belum kita bicara lagi soal Lailatul Qadr.

.

Banyak lagi amal-amal lain yang tidak saya sebutkan. Jemputlah kawan-kawan pula yang menambah senarainya. Moga Allah beri kita kekuatan, kerajinan dan keikhlasan untuk bekerja menuai nikmat-nikmat Allah di ladang Ramadhan yang luas dan ranum ini. Siapa yang malas, dia yang rugi. Siapa yang rajin, manisnya dia yang rasa. Biidznillah. Selamat Merayakan Ramadhan. Allahu’alam.

.

ar-rumaisa
5 Ramadhan 1430 Hijriah

(rujukan: Riyadhus Solihin, Dasar-dasar Islam, risalah Ramadhan IM, Dakwatuna)

Malaysia Needs More Specialists
by Dr Ng Cheong Keat (malaysiakini.com)

I wish to voice my opinion that Public Services Department should stop sending students to European or American universities for medical courses. I understand that each of these students cost the government (taxpayers’ money) almost RM 1 million each. Currently, Malaysia has so many (almost 17) public or private medical schools. Thus, producing doctors with basic degrees is not really a problem. In fact, the current situation in Malaysia is ‘mass production’ of such doctors. Thus, there is actually no more need to send our student overseas to pursue medical courses…

,

and the story goes on and on…

Setiap tahun selepas keputusan SPM diumumkan, Malaysia tidak pernah sunyi dari perbincangan khas tentang pelajar-pelajar jurusan perubatan. Isu ini tentu akan naik semula setiap tahun. Sama seperti kad raya yang wajib laris bila tiba musimnya, walaupun ia adalah design tahun lepas. Sembang tentang kos, tentang tempat belajar, tentang kuota, tentang kelayakan, tentang keperluan negara, tentang tidak mengenang jasa dan macam-macam lagi. Mungkin kerana hangatnya isu ini, sepanjang saya di sini, memanglah tidak sunyi dari menerima kunjungan-kunjungan tetamu kehormat dari Malaysia ke universiti-universiti di rantau barat ini, disertai sesi dialog bersama pelajar. Antaranya Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Pengarah Kesihatan Malaysia, Dekan-dekan Fakulti-fakulti Perubatan Malaysia dan tidak ketinggalan, Tengku Mahkota Perlis!

.

Sebagai seorang pelajar perubatan yang mencecah 3 tahun tersadai di bumi Leprechaun ini, sekadar mampu memerhati dan membaca the never-ending story ini saban tahun. Saya tahu saya menghabiskan duit rakyat. Saya tahu peluang yang diberi kepada saya amat bermakna. Saya tahu seluruh negara mahukan saya pulang segera. Saya tahu masyarakat Malaysia di sana lah medan saya. Saya tahu nisbah pesakit:doktor malaysia. Saya tahu ganjaran dan cabaran yang menunggu saya di Malaysia. InsyaAllah saya maklum semua itu.

.

Ya, mendengar orang berbincang, bersembang, berbahas tentang kita; tekanannya hebat. Justeru adik-adik saya yang bakal kemari juga telah diasak oleh pelbagai pihak tentang kepentingan menumpukan seluruh tenaga & perhatian terhadap bidang perubatan ini dan pulang secepat mungkin, lantaran besarnya harapan dan keperluan negara terhadap intelek-intelek muda seperti kami.

 ,

Namun anehnya, semua tekanan itu tidak cukup untuk memenuhkan kepala otak saya dengan hal-hal perubatan sahaja. Fikiran saya tetap tidak dapat lari dari memikirkan soal krisis nilai dan krisis di mana letaknya agama yang saya cintai ini dalam hati masyarakat saya. Islam belum berada di tempat yang sepatutnya dalam masyarakat saya yang tercinta. Di mata saya, krisis ini lebih besar dari krisis kekurangan doktor dan ia juga adalah krisis yang mesti difikirkan dan diusahakan secara aktif untuk diselesaikan.

.

Saya tahu saya berkewajipan dan berperanan untuk menyelesaikan masalah kesihatan & masalah kekurangan doktor di Malaysia. Tapi saya merasakan kewajipan saya lebih lagi dari sekadar ini, maka saya mesti berfikir lebih lagi dari sekadar ini, sebabbukankah harapan negara pada saya lebih tinggi lagi sebab saya telah menghabiskan lebih banyak duit rakyat dengan belajar di sini, berbanding rakan-rakan seperjuangan di Malaysia? Jadi saya perlu berusaha membalas jasa ini dengan lebih lagi.

.

InsyaAllah, saya di sini bila tamat pengajian akan jadi Dr. Rakan-rakan saya yang belajar di Malaysia juga akan jadi Dr. Saya dapat ijazah, mereka juga dapat ijazah. Jikalau hasilnya sama saja, alangkah membazirnya menghabiskan RM 1 juta untuk saya! Dengan wang sebanyak itu, tentu banyak lagi cara lain ia boleh dimanfaatkan. Maka, pasti ada dalil yang lebih kuat yang menyebabkan kerajaan memilih jalan ini. Jadi apa sebenarnya yang kerajaan harapkan dari kami? Tentunya not just another doctor.

.

Jadi saya merasakan saya perlu membawa pulang sesuatu yang lebih dari sekadar ijazah kedoktoran. Pada hemat saya, statistik tentang
‘dalam ramai-ramai pesakit, ada berapa orang doktor’
itu penting, tapi statistik tentang
‘dalam ramai-ramai doktor, ada berapa orang doktor yang membawa risalah Islam’

itu JAUH LEBIH PENTING. Maka saya harus mencari Islam di sini. Saya mesti memburu dan mengaut setiap butiran hikmah dan mutiara-mutiara Islam di sini, serta di bumi mana saja yang Allah takdirkan kaki ini berpijak, kemudian membawanya pulang ke kampung halaman tercinta.

.

Sebab faktor utama untuk kita hidup sejahtera, maju dan terhormat ialah Islam.
Tanpanya, faktor-faktor lain akan hanya menjadi debu yang berterbangan.

Bukti? Amerika punyai banyak ilmuan, doktor & pakar kesihatan, sebut sahaja bidang apa, tapi formula itu nampaknya tidak berkesan dalam memastikan masyarakatnya hidup sejahtera. Amerika punyai crime rate paling tinggi di dunia!

.

Then there must be something missing. The puzzle is not complete. Scientific knowledge saja tidak dapat memastikan manusia hidup sejahtera. Saya yakin jawapannya adalah Islam. Dan insyaAllah inilah hadiah yang paling utama dan istimewa yang dapat saya bawa pulang untuk membalas segala pengorbanan dan jasa rakyat, untuk ummah yang tercinta, di samping ijazah kedoktoran. Biarlah saya yang menjadi serampang dua mata itu. Ya, menjadi seorang pembawa risalah Islam yang berkarier sebagai seorang Dr. InsyaAllah!

.

ar_rumaisa,
24 Rabi’ulAwwal 1427 H / 24 April 2006
– seorang Islam yang kebetulan Dr, bukan Dr yang kebetulan Islam –

Ramai orang tidak senang apabila ditimpa penyakit. Jiwanya gelisah. Jasadnya tidak selesa. Urusan hidupnya tergendala. Serba-serbi tidak kena, walaupun yang datang itu hanyalah sakit demam sahaja. Tidak dapat istirahat, susah untuk tidur, pening kepala, sukar bernafas dengan hidung yang tersumbat, tekak yang loya dan makanan terasa tidak ubah seperti sabun.

.

Ayuh muhasabah, macam mana perangai kita apabila sakit?

.

Adakah kita banyak meminta? Adakalanya sakit menjadikan seseorang itu sangat sensitif. Cepat terasa. Semuanya tidak memuaskan hati. Semua orang dirasakan seolah tidak memahami, tidak cukup menyayangi dan sering merasa terpinggir. Tiba-tiba saja menjadi seorang yang inginkan perhatian dan demanding.
“Aku kan sakit, kenapa tidak diziarah?”

.

chemotherapyBagi sesetengah yang lain pula, sakit menyebabkan dia mengeluh, mengerang dan komplen tanpa henti. Kita bagaimana? Kalau sakit, apa bait-bait kata yang keluar dari bibir kita? Emosi akan teruji, terutamanya jika merasa sudah berubat, melaksanakan everything medically possible, sudah mengikut setiap satu nasihat doktor, makan ubat tepat masa, berpantang makan, bahkan dirawat doktor pakar paling terkenal, menginap di hospital dengan teknologi terkini. Namun, sakit tidak juga berkurang, malah makin bertambah.
“Aku sudah makan ubat. Sudah ikut cakap doktor. Kenapa tak baik-baik??”
.

.

Lalu perasaan kecewa bertandang dan menebal. Ada di antara orang sakit yang mempersoalkan kepakaran doktor dan menyalahkan pihak-pihak yang merawatnya. Rupanya dia lupa, para doktor adalah manusia biasa, yang hanya dapat berusaha sama sepertinya, tidak mampu menjanjikan apa-apa. Yang dapat dilakukan adalah… berbekalkan pengetahuan dan pengalaman, doktor membuat siasatan tentang keadaan penyakit, kemudian berfikir untuk menyenaraikan pilihan yang ada, membuat keputusan bersama-sama pesakit tentang apa yang boleh dilakukan dan bertawakal untuk hasil yang diinginkan. Tidak lebih dari itu.

.

brokenbonesKetetapan Allah jualah yang menentukan kejayaan ubat atau pembedahan itu. Semuanya dalam Qudrat dan Iradat Allah. Allah yang mentadbir semuanya, termasuklah hal-hal yang berlaku di dalam badan kita. Jasad ini taat kepada arahan Tuhan yang menciptakannya. Yang selalu ingkar adalah ruh manusia. Sel-sel barah akan mengecil atau membesar mengikut apa yang Allah perintahkan kepadanya. Hanya dengan arahan Allah, tulang yang patah akan bercantum kembali seperti sediakala selepas dirapatkan dengan skru. Kita semua harus mengimani hakikat ini.

.

Adakalanya, lebih memburukkan keadaan lagi, terbit bibit-bibit perasaan kecewa dengan Tuhan. Naudzubillahi min dzalik!
“Kenapa aku?”
Ada yang merasa Allah tidak berlaku adil kepadanya. Sedangkan dia tidak merokok, dia menjaga makan dan senaman. Sesungguhnya syaitan telah berjaya menembusi benteng imannya. Merosakkan aqidahnya. Ruhnya turut jatuh sakit bersama-sama jasadnya, bahkan lebih tenat lagi. Iman melemah dan kian binasa. Ditambah lagi dengan kesediannya meringankan solat fardhu ketika itu, ada juga yang meninggalkan terus kerana sakit. Emosi dan iman kini hampir berada di garisan paling bawah, kerana tidak sedikit pun berusaha menyelami hikmah atas apa yang menimpa.

,

Bagaimana sebenarnya kita harus menghadapi bila sakit?

Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah. Sebenarnya sakit itu hadiah dari Tuhan, yang mampu menjadi jambatan bagi kita untuk datang menghampiriNya. Rasulullah saw bersabda:

“Tidaklah seorang mukmin ditimpa sebuah kesedihan, nestapa, bencana, derita, penyakit, bahkan duri yang mengenainya, kecuali Allah, dengannya, akan mengampuni kesalahan-kesalahannya.”

Sakit itu buat penghapus dosa, buat mempermudah jalan kita ke syurga, buat meringankan beban kita di kehidupan sana. Jikalau Allah ingin menaikkan darjat hambaNya, yang tidak mampu dicapai oleh hamba itu dengan amalnya, maka Allah menghantarkan musibah dan derita, agar dengannya hamba itu dapat bersabar dan mencapai darjat iman yang lebih tinggi. Dia akan meraih pahala berdoa dan kebergantungan penuh kepada Allah, terutamanya ketika merasakan menemui jalan buntu dan tiada mana-mana manusia di dunia pun dapat membantunya.

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: ayat 155)

Tentu saja sabar itu bermaksud redha dengan apa yang dikehendaki Allah ke atas dirinya. Semoga kita dapat mencontohi iman dan kesabaran Nabi Ayub Alaihissalam apabila kita sakit, kita demam atau kita kemalangan. Bersihkan hati, bertenanglah dan bersabarlah. Allah sedang memberi kita ‘kelapangan’ untuk bertaubat, berfikir tentangNya dan berzikir mengingatiNya. Moga dipertemukan denganNya di alam abadi.

.

~ selalu rasa nak ajar Syahadah, sedih berdepan pesakit cancer yang tak kenal Tuhan

Perhimpunan+Musim+Sejuk+2009

Dengan sukacita dan harapan yang tinggi melangit kepada Allah subhanahu wa ta’ala agar tidak putus-putus membuka hati kita kepada hidayahNya dan keimanan yang subur, kami mengundang kawan-kawan yang dikasihi, sesiapa yang ada di Eropah sekitar Disember untuk hadir ke Winter Retreat ini.  It is a reunion, a place to meet new friends, to hear words of wisdom from international and national Syeikhs as well as to enjoy the beautiful snowy winter in Loch Lomond, Scotland. Dengan penuh takzim, kami menjemput. InshaAllah =)

Mari Menderma…

Assalamualaikum wbt,

Kami mengajak rakan-rakan sekalian untuk turut sama menderma buku-buku terpakai bagi membantu masyarakat Melayu Muslim di Cambodia….

Majlis Syura Muslimun menganjurkan Projek Baitul Hikmah Cambodia 2009 bertujuan mewujudkan sebuah perpustakaan di perkampungan Melayu Muslim di Cambodia. Usaha murni ini akan dijayakan dengan mengumpulkan buku dan dana ke arah mendirikan perpustakaan ini. Semoga usaha yang kecil ini mampu memberi sumbangan yang besar kepada mereka yang memerlukan.

Baitul Hikmah

Wakil-wakil MSM di lokaliti

Cork

Ismail Ibrahim (0857124640)

Galway

Mohd Zaquan Arif Abd Ghafar (0857175193)

meh datang dekat

yahoHari ini masih ramai orang yang suka pada islam, pakai baju islam, berhias dengan accesories islam, mempunyai nama islam, menyokong pihak yang mendokong islam dan suka juga untuk merasa membawa islam. Alhamdulillah, golongan ini mesti diramaikan lagi bilangannya, dengan apa cara sekalipun. Buatlah apa-apa majlis, aktiviti, iklan, design, rancangan tv, kelab, buku, majalah, radio, kempen, poster, untuk mempromosikan islam sehebat-hebatnya untuk menyeru manusia kepada cahaya islam dan beriltizam dengannya.

.

Namun, di sebalik semua penampilan islamik itu, mungkin masih banyak ruang-ruang dalam diri kita (yang sudah minat pada kebaikan & suka pada islam ini) yang masih tidak disentuh, tidak dijamah dan belum diresapi betul-betul oleh pewarna islam. Kadangkala apabila bersahabat, apabila semakin rapat, banyak pula hal ‘tidak cantik’ yang tersingkap. Aduh! Adakalanya hingga dapat menimbulkan fitnah pula. =(

.

Betapa mudahnya lidah mengatakan kalimat Islam, namun alangkah sulitnya menancapkan Iman di dalam hati. Kebanyakan ucapan  lidah tidak sesuai dengan keyakinan hati. Bahkan lebih banyak lagi ungkapan lisan yang tidak seiring dengan amal perbuatan.

.

Seorang mukmin yang jujur adalah seorang yang seiring perkataannya dengan keyakinan hatinya, dan selari juga perkataannya dengan amal perbuatannya. Dari luar, dari kaca mata manusia, dia kelihatan seperti seorang yang baik. Hakikatnya, di belakang, di sebalik pengetahuan orang, dia adalah jauh lebih baik lagi! …lantaran begitu banyak amal soleh yang disembunyikan.

.

Justeru apabila bersamanya, maka banyaklah percikan keimanan & amal soleh yang terserlah tanpa sengaja, mutiara hikmah yang dapat diambil darinya. Semakin dekat, semakin harum. Dengan itu, dia akan kian menghampiri qudwah yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah s.a.w….. iaitu seorang manusia yang semakin dikenali, semakin nampak kesempurnaannya. Apakah kita sedemikian? Atau apakah kita sebaliknya…. semakin didekati, semakin nampak kecacatan?

.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang ada di dalam dada. Mengetahui mata yang tidak jujur dan suara yang disembunyikan di lubuk jiwa. Mengetahui yang munafik dari yang mukmin, yang dusta dari yang benar. Cuma terserah pada kehendakNya untuk mendedahkan rahsia-rahsia itu kepada manusia lainnya, melalui amal perbuatan mahupun kata-kata diri kita sendiri juga. Sabda Rasulullah saw, dari Anas bin Malik,

“Tidak lurus keimanan seseorang kecuali sehingga lurus hatinya, dan tidak lurus hati seseorang sehingga lurus pula lisannya.”  (Hadith Riwayat Ahmad)

.

Namun pastilah bukan tanggapan manusia yang kita bimbangi, tetapi tidak lain tidak bukan adalah pandangan Allah azza wajalla, Tuhan semesta alam kepada diri kita yang kerdil ini. Semoga Allah mengampunkan kita! Di atas timbunan dosa-dosa yang kita sesali itu, kita bertaubat dan berterusan berdoa agar masih termasuk dalam angkatan mukmin jujur yang menjadi pilihanNya untuk membawa seruan risalah Islam kepada dunia, dan moga akan terus terpilih untuk mendapat berita gembira ke syurgaNya.

“Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang melawat, yang rukuk, yang sujud, yang menyeru berbuat makruf dan mencegah berbuat mungkar, dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu.”  (Surah At-taubah: ayat 112)