Feeds:
Posts
Comments

Archive for March 18th, 2009

          Kebiasaannya, orang akan menulis mengenai topik ini di bulan Februari. Hampir semua majalah edisi Februari di persada tanah air baik URTV, Mangga, Dara.com mahupun Al-Islam pasti ada artikel yang ditulis mengenai soal cinta. Tapi, Dahlia ingin menulisnya di bulan Mac. Tiada sebab yang utama, cuma ingin menukar angin sekali sekala. Persoalan yang sering kita dengar saban tahun:

Abang, couple tu boleh atau tidak?

Kak, saya ingin berkenalan dengan dia untuk tujuan berkahwin. Apa hukumnya dalam Islam?”

          Jika kita ingin berbicara soal hukum, pasti ianya akan membawa kita kepada perbincangan yang berjela dan perdebatan yang tiada penghujungnya. Dahlia rasa, apa yang penting bukanlah untuk kita mengetahui pandangan Islam mengenai soal percintaan antara wanita dan lelaki. Ataupun hubungan dan kedudukan kedua-dua jenis ini. Perkara ini sebenarnya telahpun dimaklumi oleh kita semua. Apa yang penting sebenarnya ialah kita masing-masing perlu bertanya kepada diri kita sendiri apakah kita bersedia untuk akur dengan hukum Allah?

         Masyarakat kita dan masyarakat Islam di negara-negara lain sedang dilanda budaya suka meniru cara hidup Barat dan tenggelam di dalamnya. Lebih menyedihkan bagi Dahlia mereka ini cuba menipu diri sendiri dengan mengubah suai hukum Islam agar sesuai dengan kehendak mereka. Mereka mengeksploitasi sifat keterbukaan Islam semata-mata untuk mengubah sama sekali. Seringkali mereka menggunakan alasan ”international” atau ”open-minded” untuk menjustifikasi tindak-tanduk mereka. 

          Pada hakikatnya, apa yang dilakukan ini amat serius. Mereka tidak akan berhenti membuat perkara ini. Mereka akan jadikan apa yang mereka lakukan itu sebagai sah agar mereka tidak perlu bertaubat dan sentiasa boleh melakukannya.

           Dahlia rasa, apa yang penting sebenarnya ialah kita perlu melihat hukum-hukum Islam tanpa dipengaruhi oleh hawa nafsu. Kita perlu bersedia menerima perintah Allah SWT terutama dalam masalah ini. Apatah lagi ia merupakan masalah penting dan mustahak dalam kehidupan kita hari ini.

             Islam mengangkat darjat wanita dan menjadikan wanita setaraf dengan lelaki dari segi hak dan tanggungjawab. Islam juga meletakkan perbezaan hak antara lelaki dan wanita berdasarkan perbezaan semulajadi dan peranan di antara lelaki dan wanita yang tidak dapat dinafikan. Tarikan semulajadi yang kuat antara wanita dan lelaki menjadi asas kepada hubungan antara mereka. Matlamat hubungan ini bukan untuk berseronok dan bersenda gurau sahaja. Malah tujuan utamanya ialah untuk bekerjasama menjaga kelangsungan bangsa manusia dan juga bekerjasama memikul beban hidup.

          Islam bukan sahaja mengambil berat naluri ini malah berusaha membersihkannya dan cuba mengubahnya dari haiwani kepada yang lebih baik dan bersifat rohani. Ini akan membawa perubahan besar kepada matlamat dan halatuju naluri ini daripada sekadar berbentuk keseronokan kepada berbentuk kerjasama erat. Silalah dengar firman Allah SWT:

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Ar-Rum:21)  

          Pada pendapat Dahlia, inilah asas yang diambil kira oleh Islam dan ia dijadikan landasan dalam persoalan ini. Berdasarkan ini juga Islam mengemukakan undang-undangnya yang bijaksana. Ia cukup bagi mewujudkan kerjasama erat antara dua jenis jantina ini. Dengan ini masing-masing memperolehi faedah hasil kerjasama ini serta saling bantu-membantu menjalankan urusan hidup.

            Selain itu, Islam memandang pergaulan bebas antara lelaki dan wanita adalah sesuatu ancaman yang besar. Kedua-dua jenis ini perlu dipisahkan kecuali setelah berkahwin.

             Mereka yang memperjuangkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita mendakwa tindakan pemisahan ini menghalang mereka kedua-dua jantina ini menikmati hubungan yang menyeronokkan dan intim. Mereka mendakwa pemisihan ini akan menyebabkan kedua-dua jantina ini sentiasa saling mengimpikan pasangannya. Sebaliknya, dengan adanya hubungan bebas antara dua jenis ini tumpuan terhadap perkara ini akan berkurangan dan hubungan ini akan diterima sebagai sesuatu yang biasa. Alasan mereka lagi, ”Perkara yang paling disukai manusia ialah perkara yang dilarang & apa yang telah berjaya ada di tangan tidak akan diminta oleh hati”.

           Ini Dahlia kurang faham…

           Akan tetapi, pandangan ini telah mempengaruhi ramai pemuda. Apatah lagi ia sesuai dengan kehendak mereka. Dengar sini Dahlia ingin berkata: Dahlia tidak bersetuju dengan apa yang anda katakan. Dahlia ingin tegaskan di sini hilangnya maruah diri, fikiran yang kacau bilau, ternodanya jiwa, hancurnya rumah tangga, renggangnya hubungan kekeluargaan dan bermaharajalelanya jenayah adalah berpunca dari pergaulan & keintiman tanpa batas tadi.  

            Kesan buruk akibat pergaulan bebas jauh beribu kali ganda berbanding faedah yang diharapkan. Jika perlu membuat pilihan antara satu yang baik dan satu yang tidak baik, menolak perkara yang tidak baik adalah jauh lebih aula (utama). Apatah lagi jika perkara yang baik itu amat kecil berbanding keburukan yang bakal menimpa.

             Begitu juga dengan alasan kedua tadi. Bagi Dahlia itu alasan palsu. Pergaulan bebas sebenarnya akan meningkatkan kecenderungan mereka untuk sentiasa berdua-duaan. Pepatah ada menyebut: ”Makan akan menguatkan lagi selera makan”. Cuba pembaca fikirkan mengapa walaupun sekian lama bergaul dengan isterinya tidak menghalang seorang suami untuk semakin intim dengan isterinya? Jadi mengapa pula hubungannya dengan seseorang wanita tidak boleh menjadi faktor untuk dia lebih rapat dengan wanita tersebut?

             Banyak ayat dan hadis menyentuh tentang pergaulan antara lelaki dan wanita. Di sini Dahlia akan menyebut beberapa di antaranya:

             ”Katakanlah (Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka;sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka…” (An-Nur 30-31)

             Dari Abu Umamah Nabi SAW bersabda: ”Hendaklah kamu menundukkan pandangan kamu dan menjaga kemaluan kamu atau Allah akan benamkan muka kamu.” (Riwayat At-Tabrani)

             Dari ma’qal bin Yassar Nabi SAW bersabda: ”Jika kepala kamu ditikam dengan jarum besi itu adalah lebih baik daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal untuk kamu”. (Riwayat Tabrani & Baihaqi)

             Diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri Baginda SAW bersabda: ”Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman dengan Allah dan hari akhirat bermusafir selama tiga hari atau lebih kecuali jika dia bersama bapanya atau saudara lelakinya atau suaminya atau anak lelakinya atau mahram lelakinya”. (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, At-Tarmizi & Ibnu Majah)

             ”Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamnu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya” (Al-Hasyr: 7)


           Ya, berdua-duaan lelaki dan wanita tanpa muhrim adalah kesalahan besar dalam Islam. 

            Ya, mengelak pandangan adalah antara yang diWAJIBkan oleh Islam.

            Ya, mengharamkan khalwat adalah salah satu hukum Islam.

            Ya, percakapan dan penampilan yang menggoda dan segala bentuk hiasan terutamanya ketika keluar dari rumah adalah diharamkan dalam Islam.

             Ramai yang masih berkata Islam tidak mengharamkan hubungan dan pergaulan lelaki dan wanita dalam kerja-kerja umum serta tiada nas berhubung perkara tersebut. Jadi bawakan nas yang mengharamkan amalan ini. Orang seperti ini sama sahaja dengan mereka yang berkata: Memukul ibubapa itu boleh kerana Al-Quran hanya melarang berkata ”oh” kepada ibubapa. Tiada nas yang melarang memukul ibubapa. 

            Perbincangan perkara ini sebenarnya terlalu luas. Seperti yang Dahlia katakan awal-awal tadi, kita semua bukannya tidak tahu apa pandangan Islam mengenai perkara ini. Tetapi apa yang lebih penting sekarang ini ialah kita perlu mengetuk pintu hati dan bertanya, apakah kita bersedia patuh & taat kepada hukum-hukum yang telah diturunkan oleh Allah SWT yang maha kuasa ke atas kita ciptaanNya yang kerdil ini? Tepuk dada, tanya iman.

-Dahlia-

Advertisements

Read Full Post »