LA PAZ 10 Mac – Bolivia mengusir seorang diplomat kanan Amerika Syarikat (AS) yang diberi tempoh 72 jam untuk meninggalkan negara itu selepas Presiden Evo Morales menuduhnya terlibat dalam ‘konspirasi terhadap kerajaan’.
Morales dalam ucapan awam di istana Presiden berkata, Francisco Martinez, setiausaha kedua di Kedutaan AS di La Paz adalah seorang persona non grata.
Jelas beliau, Martinez ‘berhubung rapat dengan kumpulan pembangkang dalam sepanjang tempoh konspirasi’ yang mencetuskan ketegangan antikerajaan yang menggoyahkan negara itu pada September lalu.
Morales sebelum ini telah mengusir keluar Duta AS ke Bolivia, Philip Goldberg pada September lalu atas sebab yang sama.
Sekutu Bolivia, Presiden Venezuela, Hugo Chavez turut mengambil langkah serupa, menyebabkan AS membalas dengan mengusir keluar duta dari kedua-dua negara.
“Kami telah memutuskan hubungan diplomatik dan kami memberi tempoh masa 72 jam untuk dia meninggalkan negara ini,” kata Menteri Luar, David Choquehuanca.
Pada November lalu, Morales turut menarik balik kebenaran untuk ejen Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS dan menuduh agensi tersebut menggalakkan penyeludupan dadah, apa yang disifatkan Washington sebagai ‘sangat tidak munasabah’.
Morales bulan lalu membuka pintu bagi memperbaiki hubungan dua hala dengan pentadbiran baru Presiden Barack Obama, namun tindakan beliau semalam mungkin tidak mengubah apa-apa malah memburukkan lagi keadaan.
Presiden Bolivia itu menuduh Martinez berhubung dengan bekas pegawai polis yang disyaki cuba menggagalkan usaha memilik negara sektor tenaga yang diusahakannya. – AFP
Leave a Reply