Api yang tidak panas dan lampu yang gelap tidak berguna kepada sesiapa. Sia-sia sahaja kalau pun dimiliki. Ia akan hanya menghabis oksigen udara dalam proses pembakaran atau tenaga elektrik yang cuba menyalakannya. Tiada fungsi maka tiadalah gunanya, baik buang saja. Setiap perkara dinilai pada kebergunaannya, fungsinya dan peranannya… Api yang panas mampu menggelegakkan air dan memasak makanan untuk kegunaan tukang masak yang menyalakannya. Lampu yang cerah berguna kepada pemandu van yang sedang mencari tayar yang hilang di tengah-tengah malam gelita.
Seorang pereka jam pastinya berpuas hati apabila melihat jam rekaannya mampu menunjukkan waktu yang tepat kepada si pemakainya. Sebaliknya, sekiranya jam itu merapu dan mengarut, setiap jarumnya tonggak langgang…maka si pereka jam itu pasti menghentak dengan kasutnya. Hentak demi hentakkan. Geram tak terkira…usahanya selama ini hanya menyusahkan dia. Masa dan tenaga hilang tersia-sia.
Bagaimana pula dengan kita wahai saudara? Apakah nilai kita? Atau apa yang lebih penting, siapakah kita?
Mahu tak mahu…kita adalah manusia, makhluk Allah yang diciptaNya daripada tiada kepada ada.
Setiap unsur dalam diri kita adalah ciptaanNya. Ruh dan jasad kedua-duanya adalah daripadaNya.
Apakah rahsia di sebalik kejadian kita?
“Maka apakah kamu mengira bahawa sesunguhnya kami menciptakan kamu secara main-main saja dan bahawa kamu tidak akan kembali kepada kami?”(Al Mukminun: 115)
Maha Suci Allah daripada segala kesia-siaan dan bagiNya segala perancangan dan aturan perjalanan setiap makhlukNya. Kejadian manusia terletak di bawah takdirNya. Dengan itu, pasti, mesti, wajib bersama kejadian ini punya perancanganNya…aturan yang telah lama digariskan:
“Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka memperhambakan diri kepadaKu” (Az Zaariyat: 56)
Kita dijadikan untuk menjadi hamba Allah, menurut segala apa yang telah diarahkan, mentaatiNya. Kita adalah budak suruhan, hamba sahaya.
Budak suruhan yang tidak mengikut arahan tuannya…bukanlah budak suruhan namanya. Bahkan ayat “budak suruhan yang tidak mengikut suruhan” tidak akan wujud sebab hakikatnya ia tidak pernah wujud. Kerana sesuatu perkara dinilai pada kebergunaannya, fungsinya dan peranannya tanpa mengira nama yang diberikan. Tidak guna barang yang dinamakan jam tapi tidak berfungsi seperti jam, tidak berguna barang yang dinamakan lampu tapi tidak menyala…
Tidak berguna barang yang dinamakan manusia tapi tidak menghambakan diri kepadaNya. Persoalan ini bukan timbul untuk orang yang bergelar muslim saja, tapi juga merangkumi semua makhluk bernama manusia kerana ayat ini ditujukan kepada setiap manusia.
Pilihlah untuk menjadi manusia, iaitu dengan berperangai seperti hamba suruhan Tuhan, atau pilihlah untuk tidak wujud…hakikatnya kita tiada pilihan lain. Pilihlah untuk menjadi manusia.
Pengabdian, perhambaan dan perbudakan adalah ruang kehidupan kita. Selain daripada itu, bukanlah kehidupan namanya. Manusia yang tidak mengabdikan diri, tidak memperhambakan diri tidak wajarlah ia menjadi manusia kerana ia bukan manusia. Ia adalah pengkhianat. Pengkhianat kepada si Pencipta. Maka wajarlah Dia menghentak-hentak si pengkhianat itu.
Sebaliknya, sekiranya jam itu merapu dan mengarut, setiap jarumnya tonggak langgang…maka si pereka jam itu pasti menghentak dengan kasutnya. Hentak demi hentakkan. Geram tak terkira…usahanya selama ini hanya menyusahkan dia. Masa dan tenaga hilang tersia-sia.
Segala sesuatu dalam kehidupan manusia adalah kurniaanNya. Kehidupan adalah milikNya. Sesiapa yang tidak bersyukur…nerakalah tempatnya.
Segala sesuatu dalam kehidupan manusia adalah amanahNya. Kehidupan adalah wasiat daripadaNya. Sesiapa yang khianat…nerakalah tempatnya.
Kembali kepada tujuan kita
Allahlah tujuan kita. Inilah setinggi-tinggi hala tuju yang kita harus berusaha kepadanya. Tidak ada suatu yang kita tuju kecuali Allah. Kita beriman kepadaNya. Kita melihat segala sesuatu untuk Dia di dalam hidup kita. Kita beribadah kepadaNya dengan sepenuh hati. Kita mencari keredhaanNya dalam setiap usaha kita dari sekecil-kecil perkara hingga kepada sebesar-besarnya dalam setiap kegiatan hidup kita dengan penuh ketulusan dan keikhlasan yang sempurna serta benar-benar yakin bahawa disitulah terletaknya kebahagiaan yang sejati, hidayah yang hakiki dan kejayaan yang sebenar.
“Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu” (Az Zaariyat: 50)
Abu Muhammad
Leave a comment